Pokok Anggur Sesuai Dijadikan Tanaman Hiasan. Dulu ia mungkin dianggap tanaman pelik, apatah lagi anggur sering dikaitkan dengan tanaman beriklim sederhana sejuk. Jika hidup sekali pun belum tentu ia berbuah atau mendatangkan hasil kepada petani.
Alasanya, anggur tidak sesuai untuk negara seperti Malaysia yang menerima hujan dan panas sepanjang tahun. Persepsi negatif itu berubah selepas tanaman beriklim sejuk itu mencambahkan gugusannya. Buktinya ada petani di utara tanah air mengusahakan ladang anggur hingga dikenali di seluruh negara.
Kisah kejayaannya mengubah persepsi tanaman itu gagal diusahakan secara komersial. Malah, penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap tanaman anggur turut giat dilaksanakan Jabatan Pertanian dan Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI).
Apakah rahsia di sebalik kejayaan tanaman itu?
Bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), baru-baru ini, teknik penanaman anggur secara betul diterangkan secara terperinci. Jika kena dengan caranya, tanaman anggur mudah dikendalikan, selain mendapat hasil memberangsangkan dengan hanya menanam di sekeliling rumah, Penanaman anggur di negara ini jika menggunakan teknik yang betul dan sempurna akan mendapat pulangan lumayan.
Kini,
terdapat pelbagai varieti anggur yang sesuai ditanam di kawasan tropika. Buah anggur mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi, selain vitamin A, B1 dan B2 serta sumber terbaik bagi elemen kalium. Selain itu buahnya juga dikatakan mempunyai kandungan kalori yang rendah dan 80 peratus air. Ia dikatakan mengandungi phytonutrien iaitu bahan aktif dipercayai boleh melindungi tubuh manusia daripada penyakit jantung.
Kini, pokok anggur juga ditanam sebagai tanaman hiasan di kediaman dan taman awam. Antara spesies sesuai ditanam di negara ini seperti anggur jenis IAC (hijau), ‘black queen’ (kehitaman), ‘black opal’ (hitam biru), dan ‘new white malaga’ (hijau).
Penanaman anggur di Malaysia dimulakan sejak awal 80-an melalui kajian Universiti Pertanian Malaysia (UPM). Namun pada 1986, UPM mengadakan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Perlis bagi memulakan penanaman anggur di negeri itu. Lokasi itu dipilih kerana negeri Indera Kayangan mengalami cuaca kemarau dan kering selama tiga bulan dan ia amat sesuai bagi penanaman anggur.
Taburan hujan yang sesuai adalah antara 800 hingga 1,500 milimeter (mm) setahun kerana tanaman ini memerlukan cuaca panas sekitar tiga hingga empat bulan bagi membantu menghasilkan buah yang manis. Di samping itu cuaca panas dapat membantu pokok hidup lebih subur dan dapat mengurangkan serangan penyakit.
Menurut Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Pertanian Perlis, Kamaruddin Malek berkata, anggur boleh hidup subur di atas tanah rendah yang terdapat di negara ini seperti tanah gambut, tanah liat, tanah berpasir serta berpaya
“Teknik penjagaan kena betul supaya buah anggur berkenaan tidak masam dan rosak,” katanya.
Pokok anggur boleh dibiak secara keratan, tetapi tidak boleh disimpan lama dalam beg plastik kerana ia perlu ditanam dalam tempoh tiga bulan.
“Ia sesuai ditanam pada tanah yang mengandungi banyak bahan organik dan tumbesarannya dipengaruhi suhu serta hujan.
“Kemarau yang panjang antara tiga hingga empat bulan amat penting bagi memberi peluang kepada proses penukaran asid kepada gula yang membantu menjadikan buah anggur lebih manis,” katanya.
Kawasan tapak penanaman anggur yang dikenal pasti hendaklah mempunyai sistem saliran yang baik dan mempunyai tahap keasidan tanah antara 5.5-7.5ph,” katanya.
Katanya, untuk memastikan proses tumbesaran dan pengeluaran hasil yang baik, pokok anggur memerlukan penjagaan yang baik termasuk semburan racun serangga, racun kulat dan baja daun setiap minggu bagi mencegah serangan kumbang.
“Penyakit seperti karat daun dan hawar daun juga dapat dicegah melalui semburan racun kulat manakala baja daun menambah kesegaran kepada pokok.
“Antara masalah penyakit tanaman anggur ialah antraknos yang menyerang pucuk, daun dan buah. Masalah ini boleh ditangani dengan semburan racun kulat jenama Benlate.
“Penyakit karat yang menyerang daun dan buah anggur pula boleh di atasi dengan menggunakan racun kulat jenis Bayleton. Kulapok Downy yang menyerang pucuk, daun, sulur paut (tendril) bunga dan buah pula boleh dimusnahkan menggunakan racun kulat Ridomil serta Mikal,” katanya.
Menurutnya,
pembajaan perlu dilakukan setiap bulan bagi memulihkan kesuburan tanah untuk proses tumbesaran pokok secara baik dan berkesan.
“Ketika pokok anggur mengeluarkan bunga dan peringkat awal berbuah, penyuburan baja, semburan racun kulat dan serangga perlu dilakukan. Penyiraman pokok dilakukan setiap hari bagi mengelak layu dan terbantut.
“Tunas sisi perlu dibuang bagi mendapatkan pertumbuhan batang pokok yang tegak dan sekata selain penting untuk mempercepatkan proses tumbesaran pucuk dan dahan.
“Penyediaan para diperlukan supaya pokok anggur dapat menjalar dan memudahkan pengeluaran serta mengelak pelbagai masalah penjagaan pokok secara keseluruhannya.
“Cabang atau ranting yang belum matang atau masih hijau perlu dipotong untuk menghasilkan banyak cabang dan seterusnya apabila matang banyak mengeluarkan bunga,” katanya.
Katanya, pokok anggur sekiranya dijaga dengan teknik yang betul
dapat menghasilkan buah dua kali setahun iaitu pada Januari hingga Jun dan Julai hingga Disember.
“Apa yang penting untuk penanaman anggur ini, pengusaha perlu membina struktur pelindung hujan (SPH) bagi mengelak pokok berkenaan rosak sekiranya musim hujan.
“SPH ini diperbuat daripada bahan antaranya kayu, besi dan khemah lut sinar bagi memastikan pokok anggur berkenaan mendapat cahaya matahari.
“Mungkin selepas ini ada penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengenai tanaman anggur yang boleh dilakukan di mana-mana tanpa menggunakan SPH sekiranya tanaman anggur ini dikomersialkan. Buat masa ini, produk tanaman anggur di negara ini lebih kepada industri pelancongan,” katanya.
Program sehari itu turut dihadiri lebih 400 orang yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknik penanaman pokok anggur selain gerai jualan.